ANTARA BELAS KASIHAN SESAMA MANUSIA & RAHMAT TUHAN
وَلَمَّا وَرَدَ مَاءَ مَدْيَنَ وَجَدَ عَلَيْهِ أُمَّةً مِنَ النَّاسِ يَسْقُونَ وَوَجَدَ مِنْ دُونِهِمُ امْرَأَتَيْنِ تَذُودَانِ ۖ قَالَ مَا خَطْبُكُمَا ۖ قَالَتَا لَا نَسْقِي حَتَّىٰ يُصْدِرَ الرِّعَاءُ ۖ وَأَبُونَا شَيْخٌ كَبِيرٌ
فَسَقَىٰ لَهُمَا ثُمَّ تَوَلَّىٰ إِلَى الظِّلِّ فَقَالَ رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنْزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ
"Dan ketika Musa sampai di sumber air negeri Madyan, dia menjumpai di sana sekumpulan orang yang sedang memberi minum (ternakan mereka) dan dia mendapati di belakang mereka dua orang wanita yang sedang menghalangi (ternakan mereka supaya tidak bersama dengan ternakan lain yang sedang minum). Musa berkata, "apakah keinginan kamu berdua?" Kedua dua wanita itu berkata, "Kami tidak dapat memberi minum (ternakan kami) sebelum pengembala-pengembala itu pulang, sedang bapa kami adalah orang tua yang lanjut usia." Maka Musa memberi minum (ternakan kedua-dua wanita itu) bagi menolong kedua-duanya, kemudian dia beralih ke tempat yang teduh, lalu dia berkata, "Rabbi (Tuhan pemeliharaku), sesungguhnya aku, (apa sahaja) kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku (adalah) sangat memerlukannya."
[ Al-Qasas, ayat 23 & 24 ]
Ayat ini mengingatkan kita peristiwa di mana Musa melarikan diri ke Madyan selepas berlaku kes pembunuhan orang Mesir yang tidak disengajakan selepas Firaun mengeluarkan perintah untuk menangkap Musa.
Jarak antara Mesir dan Madyan adalah sekitar lapan hari dengan berjalan kaki. Dalam beberapa rekod dikatakan, Musa berangkat ke Madyan tanpa membawa bekal sehingga Musa terpaksa makan dedaunan. Ketika tiba di Madyan, tubuhnya nampak kurus dan kedua-dua tapak kakinya melepuh kerana berjalan tanpa alas kaki.
Walaupun dalam keadaan lemah dan tidak berdaya, Musa tetap berdiri dan menolong kedua-dua wanita yang memerlukan air untuk ternakan. Apa yang dilakukan Musa menunjukkan, Allah a'zza wa jalla menghendaki supaya orang lemah juga tetap memiliki tekad bagi menolong orang lain.
Selepas membantu dua anak gadis itu, Musa bergegas kembali ke tempatnya semula untuk berteduh. Ketika itu, Musa menahan rasa lapar kerana tujuh hari tujuh malam berjalan tanpa makanan. Lalu, Musa mengadu kepada Allah s.w.t
Musa mengadu dengan menyebut perkataan "Rabbi" iaitu Tuhan pemeliharaku (Allah yang mengatur, mengurus dan menciptakan) sebagai ungkapan doa senada dengan apa yang dimohonnya. Hakikatnya Musa boleh, Ya Allah. Namun perkataan Allah memiliki makna yang disembah dan memiliki perintah. Berbeza dengan Rabb, perkataan ini mengandungi "Tuhan pemeliharaku, Engkau yang menciptakan dan mewujudkan aku di tempat ini. Aku lemah dan tidak ada daya upaya melainkan memerlukan kekuatan-Mu. Aku lapar dan memerlukan rezeki-Mu. Sekiranya pada ketika ini seseorang datang membawa makanan untukku, Engkau yang menurunkannya kepadaku".
Kedua dua gadis yang ditolong oleh Musa kembali ke rumah dengan tergesa gesa. Ayah mereka bertanya berkenaan kepulangan mereka yang nampak terburu buru. Lalu mereka menjelaskan pertemuan dengan seorang lelaki yang baik membantu mereka memberi minum ternakan. Ayah kepada dua gadis itu ingin melihat lelaki yang diceritakan mereka dan ingin mengetahui asal usulnya. Dia menyuruh seorang dari kedua dua anak gadisnya bagi menemui Musa dan memintanya datang ke rumah.
Al Quran mengabadikan peristiwa ini di dalam surah Al Qasas ayat 25 :
فَجَاءَتْهُ إِحْدَاهُمَا تَمْشِي عَلَى اسْتِحْيَاءٍ قَالَتْ إِنَّ أَبِي يَدْعُوكَ لِيَجْزِيَكَ أَجْرَ مَا سَقَيْتَ لَنَا ۚ فَلَمَّا جَاءَهُ وَقَصَّ عَلَيْهِ الْقَصَصَ قَالَ لَا تَخَفْ ۖ نَجَوْتَ مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ
"Maka datang kepada Musa seorang daripada kedua duanya, lalu berjalan dengan malu. Dia berkata, "Sesungguhnya ayahku mengundangmu supaya dia memberi balasan kepada kebaikanmu memberi minum ternakan kami." Maka ketika dia mendatangi ayah wanita itu dan menceritakan kepadanya kisah kisah berkenaan dirinya, dia berkata, "Jangan takut ! Kamu selamat daripada kaum yang zalim."
Allah menggambarkan bagaimana kebaikan dibalas dengan kebaikan. Rahmat Tuhan mendahului segalanya apabila kita punya sanubari belas kasihan sesama manusia. Al Quran mendidik kita, walau dalam keadaan susah dan kepayahan hadir dalam pelbagai rupa dan warna kehidupan, berbuat baik sesama insan adalah kunci meraih empati Tuhan kepada kita. Lalu dibukakan kepada kita jalan jalan kehidupan yang kita merasakan seakan sempit, tetapi Rabb, Dia Maha Memelihara hambaNya yang menyeru kepadaNya dibimbingnya kita mendepani arus kehidupan yang penuh rencam dibawah lembayung urusan dan aturanNya.
Musa kekal dengan karakternya, berdoa memohon petunjuk sebelum (Al Qasas : 22) dan sesudah tindakan (Al Qasas : 24). Moga kita boleh mencontohi sikap ini dalam melalui liku liku kehidupan. Allahua'lam